Sejarah Jakim.

sejarah jakim

Jakim melalui beberapa fasa perubahan sebelum akhirnya dikenali sebagai Jakim dengan fungsi lebih luas. Di sini anda dapat lihat sejarah ringkas serta fasa perubahan Jakim.

1968 – 1973

Sejarah penubuhan Jakim bermula pada tahun 1968 dengan tertubuhnya Urusetia Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia; turut dikenali sebagai MKI.

Sepanjang tempoh 1970 – 1980, lebih 20 kali persidangan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah diadakan, membincangkan 200 isu-isu dan dasar berkaitan Agama Islam di Malaysia.

Antara perkara awal yang diputuskan oleh MKI ialah penubuhan Institut Dakwah dan Latihan Islam (INDAH), penubuhan Pusat Penyelidikan Islam (PPI), penubuhan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), penubuhan Maktab Perguruan Islam (MPI), penubuhan Sekolah Menengah Agama Sarawak, penubuhan Maáhad Tahfiz al-Quran Wa al-Qiraat dan penubuhan Lembaga Penyelaras Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI).

1974-1985

Pada tahun 1974, apabila terbentuknya Wilayah Persekutuan, Urusetia MKI telah dinaikkan tarafnya menjadi Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri.

Pada waktu ini telah ditubuhkan juga Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan; diletakkan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. Turut ditubuhkan pada waktu ini ialah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan diletakkan sebagai bertaraf sebuah jabatan.

Apabila Urusetia MKI dinaiktaraf menjadi Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri, maka tugas dan tanggungjawabnya semakin besar dan mencabar.

Cawangan-cawangan baru telah ditubuhkan dan dimasukkan di bawah bidang kuasa Bahagian Ugama Jabatan Perdana Menteri. Pada masa itu sudah wujud Masjid Negara (1965), Ma’ahad Tahfiz (1966), Pusat Penyelidikan Islam (1971), Institut Dakwah dan Latihan Islam (1974) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (1974).

Menjelang tahun 1980, Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri semakin pesat berkembang.

Pada masa itu pejabat cawangan Bahagian Ugama terletak di beberapa lokasi di Kuala Lumpur. Pusat penyelidikan Islam terletak di Blok K26, Kompleks Kerajaan Jalan Duta. Institut Dakwah dan Latihan terletak di Pusat Islam, Jalan Lembah dan di rumah-rumah kerajaan sekitar Jalan Mahameru dan Jalan Cenderasari. Manakala Ma’ahad Tahfiz al-Quran Wa al-Qiraat beroperasi di Masjid Negara.

Di bawah Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980), Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri telah dapat peruntukan untuk bina kompleks baru Pusat Islam yang terletak di Jalan Perdana, Kuala Lumpur.

Pada tahun 1984, struktur organisasi Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri disusun semula dan diperbesarkan. Lanjutan daripada itu pada 1 Ramadhan 1405 (21 Mei 1985), nama bahagian Ugama telah ditukar kepada Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri.


Artikel ini adalah terbitan website Islam.gov.my bertajuk “Profil & Sejarah Jakim”.


1985-1996

Pada Mei 1985, Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) telah berpindah ke bangunan baru.

Mulai tahun 1985, semua cawangan Bahagian Ugama ditempatkan dalam sebuah bangunan dikenali sebagai Kompleks Pusat Islam Malaysia, Jalan Perdana, Kuala Lumpur.

Kompleks ini (Kompleks Pusat Islam) telah dibina di atas sebidang tanah seluas 2.43 hektar berhampiran Masjid Negara dengan perbelanjaan RM58 juta. Kompeks ini mengandungi bangunan menara 11 tingkat yang turut menempatkan bilik-bilik kuliah, serta sebuah auditorium yang boleh menempatkan 1,500 orang, sebuah bangunan 3 tingkat untuk Perpustakaan Awam Islam, Balai Pameran Islam dan Maáhad Tahfiz al-Quran Wa al-Qiraat.

Fungsi BAHEIS adalah untuk melaksanakan salah satu program di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu Pentadbiran Hal Ehwal Islam.

Bidang tugas program ini meliputi semua jenis tugas badan-badan perancang dan penyelaras yang dapat dirumuskan seperti berikut:-

1. Merancang & Menyelaras. Ini meliputi usaha-usaha untuk memperbaiki dan menyeragamkan undang-undang dan pentadbiran yang berkaitan dengan hal ehwal Islam, hukum syarak dan pelajaran agama Islam di seluruh negara.

2. Menilai dan memberi cadangan terhadap aktiviti keIslaman yang dijalankan oleh agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan tidak berlaku pertentangan antara kepentingan negara dengan kepentingan Islam.

3. Merancang aktiviti-aktiviti untuk membantu Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri-negeri dalam bidang dakwah Islamiah.

4. Membantu dalam usaha-usaha untuk mewujudkan dan meningkatkan kerjasama antara negara Malaysia dengan negara-negara luar dan badan-badan antarabangsa dalam bidang dakwah Islamiyah dan pembangunan keilmuan Islam.

1997-2003

Selaras dengan perkembangan negara dan keperluan masyarakat Islam semasa, BAHEIS telah disusun semula.

Mesyuarat Jawatankuasa kemajuan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (JKI) kali ke-24 pada 24 Jun 1995 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Petugas Menyusun Semula Fungsi Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan diberi tanggungjawab untuk meniliti cadangan penyusunan semula fungsi dan organisasi BAHEIS, Jabatan Perdana Menteri.

Pada 1 Januari 1997, BAHEIS telah dinaik taraf menjadi JAKIM, Jabatan Perdana Menteri.

Pada awal penubuhan, JAKIM mempunyai 14 bahagian dan kemudian berkembang ke 19 bahagian selari dengan perkembangan semasa.

  • Bahagian Penyelidikan.
  • Bahagian Dakwah.
  • Bahagian Keurusetiaan dan Perhubungan Antarabangsa.
  • Bahagian Pentadbiran Kewangan.
  • Bahagian Penerbitan.
  • Bahagian Pembangunan Pendidikan Islam.
  • Darul Quran.
  • Bahagian Latihan.
  • Institut Latihan Islam Malaysia.
  • Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid.
  • Bahagian Pembangunan Media Elektronik dan Penyiaran.
  • Bahagian Informasi Islam.
  • Bahagian Penasihat Undang-undang.
  • JAKIM cawangan Sarawak.
  • JAKIM cawangan Sabah.
  • Cawangan Audit Dalaman.
  • Bahagian penyelarasan penguatkuasaan Undang-undang.
  • Bahagian Penyelaras Baitulmal.
  • Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Orang Islam.

JAKIM diketuai oleh seorang Ketua Pengarah dan dibantu oleh tiga orang Timbalan Ketua Pengarah iaitu Timbalan Ketua Pengarah Dasar, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan.

Pada masa ini JAKIM beroperasi di Kompleks Islam Putrajaya (sejak 1 Disember 216).