Status Halal Jakim.

check halal jakim pic 3

Bagaimana soalan mudah dan survey “impromptu” mencetuskan “Ulasan Status Halal Jakim“.

Pada satu waktu dulu saya dan isteri sengaja bertanya di sebuah kedai makan di pusat membeli belah terkenal berhampiran rumah kami di Kuala Lumpur.

Kami tanya pada pekerja di situ “Tempat ni ada sijil halal tak?”, dan pekerja disitu menjawab “Sijil halal masih dalam proses lagi”.

Saya kata “OK, takpe ye. Abang pergi kedai lain dulu”, jadi saya dan isteri pergi pula ke kedai kedua pilihan kami dan tanya dulu soalan yang sama dan seperti untuk tempat pertama tadi, kami dapat jawapan yang sama “Sijil halal masih dalam proses lagi”.

Kami beralih pula ke tempat ketiga pilihan kami, kemudian ke kedai keempat dan akhirnya hampir kesemua kedai di “mall” tersebut telah kami singgah dan setiap pekerjanya akan beri jawapan yang sama bila kami tanya “Ada sijil halal?”…jawabnya “Masih dalam proses lagi”.

Seolah-olah pada hari itu, hampir kesemua pekerja disitu pernah berlatih bersama-sama untuk beri jawapan yang sama khusus untuk soalan “Ada sijil halal tak?”.

Survey secara “impromptu” atau tidak dirancang ini memberi kesedaran pada saya dan isteri yang tidak kesemua tempat makan di Malaysia ini ada sijil halal.

Selama ini saya dan isteri selalu beranggapan, tanpa kami sedari, menganggap semua tempat makan di pusat membeli belah di Malaysia ini ada sijil halal sebab kita berada di Malaysia dan majoriti pengguna di Malaysia beragama Islam.

Kemudian beberapa tahun selepas itu, saya dan isteri cuba tanya kembali pada beberapa kedai yang sama ditempat yang sama dan kami dapat jawapan yang sama juga bila ditanya “Ada sijil halal?”, jawapnya “Sijil halal masih dalam proses lagi”.

Jawapan yang sama setelah beberapa tahun? Saya rasa saya perlu usahakan sesuatu.

Jadi saya buat research saya sendiri sekitar 2019 berkaitan dengan sijil halal bermula dengan soalan pertama berapa lama sebenarnya masa yang diambil untuk Jakim luluskan sijil halal sebab pekerja di kedai-kedai yang saya tanya beri jawapan sama walaupun selepas beberapa tahun.

Mungkin pemprosesan Jakim akan ambil masa tapi saya yakin dengan dokumen yang lengkap; mustahil ia ambil masa beberapa tahun untuk dapat sijil halal dari Jakim.

Sekitar 2020 saya buat research yang lebih teratur berkaitan sijil halal Jakim.

Secara umumnya ini yang saya perhatikan berdasarkan analisa saya.

1. Jakim akan senaraikan tempat-tempat yang ada sijil halal di portal Jakim.

2. Antara Jun 2020 hingga Jan 2021, ada antara 9,000 hingga 10,000 rekod sijil halal Jakim dengan data yang lengkap seperti no sijil halal, info pemilik atau pengurus sesebuah premis makanan, senarai penuh cawangan-cawangan yang ada sijil halal, tarikh tamat sijil halal serta senarai menu-menu yang telah disahkan halal oleh Jakim.

3. Rekod sijil halal untuk sesuatu tempat makan itu akan terus dipaparkan Jakim walaupun telah tamat tempoh sah sijil; tetapi hanya sehingga waktu tertentu. Selepas itu, tempat tersebut akan dikeluarkan dari senarai di portal Jakim sekiranya sijil halal yang telah tamat tempoh masih belum diperbaharui.

4. Sesebuah syarikat dan sesebuah premis makanan di satu-satu lokasi boleh memiliki lebih dari satu sijil halal. Sebagai contoh, restoren “Franchais” atau restoren rantaian ada sijil halal dibawah nama syarikat pemilik franchais dan nama syarikat pengurus cawangan.

5. Analisa saya juga menunjukkan sesebuah syarikat tidak semestinya mendaftarkan kesemua cawangannya untuk sijil halal. Kerapkali saya jumpa syarikat-syarikat yang hanya daftarkan beberapa cawangannya saja sedangkan yang lainnya masih tidak mempunyai sijil halal setelah saya buat beberapa semakan.

6. Ada syarikat yang daftarkan cawangannya tetapi kemudiannya sijil halal tersebut tidak disambung selepas tamat tempoh.

7. Ada syarikat yang dapatkan sijil halal hanya untuk produk makanan keluarannya saja tetapi tidak untuk cawangan-cawangannya. Kemudian syarikat-syarikat ini dengan mudah mengatakan restoren-restoren mereka ada sijil halal dari Jakim.

8. Ada juga syarikat yang dapatkan sijil halal untuk central kitchen saja, tetapi tidak untuk cawanganya. Sama seperti sebelum ini, ada segelintir syarikat mengatakan restoren dan cawangan-cawangan mereka ada sijil halal sedangkan sijil halal tersebut hanya untuk central kitchen saja.

9. Ada tempat yang telah ada sijil halal dikategorikan oleh Jakim sebagai “Dalam tempoh Tindakan Pembetulan” dan “Sijil Halal Ditarik Balik”; menunjukkan tempat makan itu telah melanggar syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jakim.

10. Setiap sijil halal itu ada tarikh tamat tempoh; bermaksud apabila sesuatu tempat itu ada sijil halal tidak bermaksud tempat tersebut diperakui sebagai halal oleh Jakim selama-lamanya.

11. Ada beberap restoren yang saya lihat masih memaparkan simbol halal Jakim pada menu mereka sedangkan sijil halal mereka telah tamat.

Saya rasa saya perlu kongsikan apa yang saya tahu ini dengan orang lain; terutamanya mereka yang mencari tempat makan yang ada perakuan halal dari Jakim.

Sewaktu saya buat analisa di portal Jakim, sekali sekala saya akan cuba buat carian di online dengan taip seperti ini “makan halal” atau “tempat makan halal” dan kemudian saya akan bandingkan apa yang ditulis pada website-website yang saya jumpa itu (kebanyakkannya pada muka surat pertama search result) dengan data di portal Jakim.

Saya amat terkejut dan kecewa dengan apa yang saya baca kerana kebanyakkannya yang saya baca paparkan status halal yang salah; tetapi pada waktu yang sama saya faham kerana tidak ramai orang buat analisa seperti saya dan tidak ramai orang pula yang akses portal Jakim seperti saya.

Namun, ada juga segelintir penulis website ini yang pada pandangan saya sebenarnya tidak kisah samada sesuatu tempat itu benar-benar halal atau tidak disebabkan tujuan tertentu.

Penulis-penulis blog ini akan beritahu tempat itu tidak halal tetapi kemudiannya cuba menerangkan bahawa “walaupun produk ini tidak halal, tetapi ia tiada alkohol” atau ramuan-ramuan lain yang haram untuk “justify recommendation” mereka pada anda.

Kemudian saya perhatikan pula ada trend di kalangan penulis online yang mengambil jalan yang mudah dengan menggunakan istilah “Halal Friendly”,”No Pork”, “No Lard” dan “Sijil Halal Dalam proses permohonan” – yang terakhir ni macam pernah saya dengar sebelum ni tapi dimana ya?

Ada juga yang saya jumpa tulis ayat mudah ini “oleh kerana tempat ni tiada sijil halal tapi tak serve pork; kita kategorikan tempat makan ni sebagai “no pork””. Mudahnya.

Saya rasa saya mesti buat sesuatu.

Saya perlu mudahkan diri saya sendiri serta keluarga, anda dan pengguna yang lain untuk cari tempat makan yang status halalnya jelas dan tidak diragui.

Saya rasa cara terbaik ialah dengan wujudkan website yang boleh bersaing dengan website-website lain yang memaparkan info yang salah.

Melalui website ini, mudah untuk kita tahu status halal sesebuah restoren serta status halal cawangannya.

Untuk pastikan info saya sahih, saya perlu buat rujukan hanya di portal halal Jakim saja sebab kesemua rekod sijil halal akan dipaparkan disini.

Saya rasa usaha-usaha Jakim dari 1968 hingga kini. Banyak usaha-usaha Jakim yang telah memudahkan urusan kita sebagai seorang Muslim; termasuklah dalam urusan mencari makanan halal.

Selain hadkan sumber rujukan pada Jakim; saya juga perlu nyatakan dengan jelas tarikh serta cara semakan status halal dibuat supaya anda dan pengguna-pengguna lain boleh buat semakan yang sama seperti saya dan boleh beritahu saya jika saya ada buat sebarang kesilapan.

Email saya akan dipaparkan dengan jelas pada setiap ulasan status halal supaya mudah untuk anda dan pengguna lain hubungi saya.

Kemudian, setiap ulasan status halal ini akan saya kemaskini dengan status halal terkini sekurang-kurangya setiap 3 bulan.

Bagi pengguna-pengguna beragama Islam; mudah-mudahan saya dapat bantu anda cari tempat makan yang sedap dan tiada keraguannya dari segi status halalnya.

Bagi pengguna-pengguna bukan beragama Islam pula; mudah-mudahan saya dapat bantu anda cari tempat makan yang sedap dan terjamin kebersihannya; kerana salah satu tuntutan agama Islam; salah satu syarat halal ialah makanan yang disediakan mestilah bersih dan selamat untuk dimakan oleh pengguna.